SUNGAI BULOH, 13 Oktober 2017 – Kisah adik Nur Dhia Batrisyia, 5 tahun yang dipatuk ular dan menjadi tular di media sosial baru-baru ini, mendapat perhatian Lembaga Zakat Selangor apabila adik ini menerima bantuan zakat bagi menjalani pembedahan sebanyak RM5,000.
Bantuan disampaikan oleh Ketua Operasi Agihan daerah Gombak, Abdul Razak Razali kepada bapa Dhia, Zulkifli Arshad dalam satu pertemuan di rumah keluarga Dhia di sini hari ini.
Menurutnya “Bantuan yang disalurkan kepada Dhia adalah di bawah asnaf gharimin. Sememangnya memang tanggungjawab Zakat Selangor untuk membantu keluarga ini yang ditimpa musibah, walaupun kisahnya tidak menjadi tular di media sosial. Apa yang penting, bantuan tersebut diharap dapat meringankan beban keluarga Dhia yang amat memerlukannya pada masa ini.”
Dalam masa yang sama, Zakat Selangor turut menjalankan bancian dan siasatan bagi mengenal pasti sama ada keluarga ini layak didaftarkan sebagai asnaf fakir dan miskin. Setelah ditentukan kelayakan, barulah bantuan zakat akan disalurkan mengikut keperluan keluarga.
Adik Dhia menjadi perhatian netizen selepas kisahnya dimuat naik oleh ibu beliau di facebook. Untuk makluman, adik Dhia telah dipatuk ular pada 4 September lalu dan ditahan wad selama 25 hari, memerlukan bantuan kewangan bagi menampung kos pembedahan yang perlu dijalankan ke atas tangan dipatuk.