ZAKAT SELANGOR BIAYAI SEWA RUMAH KELUARGA YUSAINI 

0
936

AMPANG, 22 Januari 2018 – Nasib keluarga Yusaini Pungut yang tular baru-baru ini mendapat perhatian apabila mereka dipindahkan ke rumah sewa yang dibiayai sepenuhnya oleh Lembaga Zakat Selangor.

Yusaini menjadi perhatian netizen dan media massa apabila dia bersama isteri dan enam orang anaknya yang berusia tiga tahun hingga 11 tahun diminta keluar dari rumah sewa lamanya yang sebelum ini turut dibiayai oleh Zakat Selangor. Pihak Zakat Selangor dimaklumkan keluarga Yusaini telah menerima notis untuk berpindah sejak sebulan lalu, namun mereka gagal untuk berpindah seperti yang dikehendaki tuan rumah sewa.

Untuk makluman, keluarga Yusaini merupakan asnaf miskin yang telah berdaftar dengan Zakat Selangor dan turut disantuni dengan bantuan zakat. Antara bantuan yang diterima berupa bantuan sewa rumah sebanyak RM600 sebulan, bantuan kewangan bulanan RM500 sebulan, bantuan makanan bulanan, bantuan pendidikan sekolah anak-anak dan bantuan Hari Raya. 

Keluarga ini akan terus dibantu berdasarkan kepada keperluan dan syarat kelayakan serta dipantau oleh Zakat Selangor.