‘CASHLESS ATM’: INOVASI TERKINI KEMUDAHAN BAYARAN ZAKAT

0
563

SHAH ALAM, 21 Disember 2016 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) memudahkan masyarakat Islam menunaikan zakat dengan memperkenalkan saluran pembayaran zakat terkini melalui ‘Cashless ATM’. Inovasi yang merupakan kerjasama antara LZS dengan Hong Leong Islamic Bank Berhad (HLISB), adalah yang pertama seumpamanya diperkenalkan oleh institusi zakat di Malaysia.

Kemudahan bayaran tanpa tunai melalui rangkaian ‘Self Service Terminal’ (SST), membolehkan pengeluar zakat membuat pembayaran zakat bagi semua jenis zakat. Melalui kemudahan ini, pengeluar zakat hanya perlu membuat pindahan wang menggunakan kad debit dari mana-mana bank dan melakukan transaksi di ‘Cashless ATM’ yang disediakan di empat cawangan LZS iaitu di ibu Pejabat LZS, Kajang, Bangi dan Seksyen 14, Petaling Jaya. Perkhidmatan ini percuma tanpa melibatkan sebarang kos tambahan untuk urusan niaga yang dilakukan.

Menurut Ketua Pegawai Operasi HLISB, Jasani Abdullah, “Pembayaran secara digital ini dibangunkan bagi memudahkan dan mempercepatkan cara pembayaran zakat di mana pengeluar zakat tidak perlu beratur untuk berurusan di kaunter. Kaedah pembayaran sebegini adalah selaras dengan teras perniagaan HLISB yang menuju ke arah perbankan digital dan mudah alih. Pelaksanaan pembayaran melalui saluran SST, iaitu melalui ‘Cashless ATM’ juga merupakan salah satu usaha kami bagi menyokong perbankan digital yang kini berkembang pesat dan diterima oleh khalayak ramai.”