SHAH ALAM, 28 Oktober 2016 – Maklum balas viral kisah keluarga Mohd Hairolnizam Mohd Yusof, 33 yang dikongsikan oleh Page Brainy Bunch pada 27 Oktober. Menurut page berkenaan, anak-anak Hairolnizam hanya tidur di lantai kerana panas akibat tiada bekalan elektrik.
Keprihatinan masyarakat amat dituntut dalam usaha membantu mereka yang memerlukan. Usaha page ini juga harus dipuji bagi mengumpul dana membantu membiayai tunggakan bekalan elektrik dan sewa rumah keluarga tersebut. Lembaga Zakat Selangor (Zakat Selangor) turut menziarahi keluarga ini dan menyalurkan bantuan kepada mereka. Hasil siasatan dan semakan LZS, keluarga yang tinggal di PPR Kota Damansara ini dikategorikan sebagai asnaf miskin berdasarkan kepada haddul kifayah.
Untuk permulaan, sumbangan segera telah diberikan sebanyak RM500. Cadangan bantuan bagi keluarga ini adalah pendidikan, kewangan dan makanan bulanan. Manakala bantuan lain akan disalurkan dari semasa ke semasa bergantung kepada keperluan keluarga dan syarat kelayakan.
Hairolnizam yang bekerja sebagai pengawal keselamatan berpendapatan RM1,100 sebulan dan mempunyai enam orang anak. Tiga orang daripadanya bersekolah rendah dan isterinya tidak bekerja.