ZIARAH KORPORAT MALAYSIAN AIRLINES SYSTEM (MAS)

0
200

Tarikh : 7/7/2009
Penulis : Azhar Yahya Arif

Subang – Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS diketuai oleh Pengerusi MAIS, Y.A.D Dato’ Setia Haji Mohamad Adzib Mohd Isa mengadakan kunjungan dalam Program Ziarah Korporat ke Malaysia Airlines System (MAS) di sini baru-baru ini.

Program yang merupakan kerjasama dengan Jabatan Pengurusan Sumber dan Latihan MAS ini diadakan bagi meningkatkan persefahaman dan usahasama dalam menyebarluaskan dakwah zakat di kalangan warga kerja MAS khususnya pembayaran zakat melalui potongan gaji (Skim Berkat).

Di samping itu, program ini melihat peluang pelaburan modal insan di kalangan anak-anak asnaf zakat untuk dikembangkan melalui peluang yang ditawarkan oleh MAS.

Delegasi seramai 15 orang ini juga di bawa meninjau ke Bahagian Kejuruteraan MAS untuk melihat pemeriksaan secara menyeluruh ke atas pesawat kendalian MAS. Malah delegasi turut diberi peluang untuk mencuba simulator bagi merasai sendiri pengalaman menerbangkan pesawat.

Menurut Pengarah Program, Mohamed Syahril Zainol, kerjasama yang diberikan ini diharap dapat menjalinkan usaha dan sinergi antara kedua belah pihak selain dapat menyemarak lagi usaha dakwah meningkatkan pembayaran melalui Skim Berkat. LZS (MAIS) turut membuka kaunter pembayaran zakat yang menarik minat kakitangan MAS untuk menyertai Skim Berkat.