ZIKRA: BERKONGSI PENGALAMAN AGIHAN ZAKAT DI SELANGOR

0
284

SHAH ALAM, 28 Mei 2013 – Seramai 40 orang peserta terdiri daripada pembayar zakat dan pihak media menyertai Program Ziarah Korporat dan Media Bersama Asnaf (ZIKRA) kali ke-10 anjuran Lembaga Zakat Selangor (LZS), sejak diperkenalkan pada tahun 2006.
Program bertujuan mendedahkan aktiviti agihan secara langsung kepada masyarakat, di samping mendapatkan maklum balas secara terus daripada para peserta jemputan terhadap keberkesanan agihan zakat yang dilaksanakan di Selangor.

Para peserta dibawa ke beberapa destinasi terpilih melibatkan Shah Alam dan sekitar Hulu Selangor bagi melihat secara dekat serta mendapat gambaran sebenar bagaimana dana zakat digunakan untuk pembangunan asnaf fakir dan miskin di Selangor.

Program bermula dengan taklimat ringkas dan sesi lawatan ke kaunter zakat di ibu pejabat LZS sebelum para peserta dibawa menziarah ke rumah pelakon Maimun Mutalib, 55 tahun. Beliau merupakan asnaf miskin yang dibantu LZS, sejak menghidap barah payu dara. Selain mendapat bantuan kewangan bulanan, Maimun turut mendapat bantuan makanan bulanan serta pendidikan untuk anak-anaknya di samping bantuan rawatan dialisis bagi anak sulungnya, Surayatul Nadia Keristifa, 33 tahun. Beliau yang ditemui semasa program menyatakan rasa terharu dengan kehadiran para peserta ke rumahnya. “Terima kasih kepada semua yang sudi menjenguk saya. Terima kasih juga kepada LZS yang banyak menghulurkan bantuan zakat terutama yang melibatkan pendidikan anak-anak setelah saya tidak mampu lagi berlakon.”

Para peserta seterusnya dibawa melihat beberapa kegiatan ekonomi yang dilaksanakan oleh penerima bantuan modal LZS. Lokasi pertama dituju ialah kedai jahitan milik asnaf, Roslina Ahmad Derawi, 35 tahun. Beliau merupakan ibu tunggal yang mendapat bantuan modal perniagaan berupa mesin jahit di samping modal pusingan. Selain itu, LZS turut menyantuni kedua-duanya melalui bantuan pendidikan.

Destinasi seterusnya merupakan perniagaan kecantikan dan spa milik asnaf LZS, Faridah Abdul Latif, 39 tahun. Perniagaan yang dikenali Gebu Spa & Beauty ini menawarkan perkhidmatan khusus untuk muslimah. Bermula dengan perniagaan dari rumah ke rumah, berkat suntikan bantuan zakat yang diberikan, Faridah mampu membuka sebuah kedai tetap seperti sekarang.

Para peserta turut berpeluang menjamu makan tengah hari di kedai Selera Utara yang diusahakan oleh Kamariah Saad, 50 tahun yang terletak di Rawang. Beliau adalah bekas asnaf LZS yang kini merupakan peniaga makanan yang berjaya sekali gus menjadi contoh kepada asnaf zakat yang lain.

Perjalanan diteruskan ke Unique Car Motorsport yang terletak di Bukit Beruntung milik Shamsul Kamal Mohamed, 47 tahun. Beliau mula mendapat bantuan zakat sejak 2009. Bantuan yang diberikan termasuklah bantuan kewangan bulanan, pendidikan serta bantuan ekonomi. Hasil usaha gigihnya, Shamsul kini berjaya keluar daripada kategori asnaf. “Alhamdulillah dengan bantuan zakat, saya dapat membangunkan perniagaan seperti yang ada sekarang. Banyak lagi yang saya perlu usahakan. Mudah-mudahan tahun ini dapat saya mengeluarkan zakat pula,” ujarnya.

Selain pendedahan mengenai projek ekonomi yang dilaksanakan, peserta juga dapat melihat penyaluran wang zakat membangunkan pendidikan anak-anak asnaf. Kunjungan ke asrama anak-anak fakir dan miskin dikenali Baitul Hasanah yang terletak di Kuala Kubu Bharu, bukti keprihatinan LZS terhadap aspek pendidikan. Ia menempatkan anak-anak asnaf demi membantu menyediakan suasana pembelajaran yang lebih kondusif kepada mereka.

Destinasi terakhir program ZIKRA ialah Pusat Latihan Asnaf Selangor (PLAS) terletak di Hulu Yam. Sebagai mercu tanda keberkesanan agihan zakat, PLAS menjadi lokasi bagi asnaf zakat di Selangor menjalani pelbagai program latihan dan kursus di bawah Program Pembangunan Insan. Malah PLAS turut dibuka kepada masyarakat luar dengan kadar bayaran tertentu.

Turut menyertai program ZIKRA pada kali ini, Pengurus Besar Kutipan, Roszy Non.