SHAH ALAM, 27 Oktober 2015 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) mengadakan program ZIKRA: Jalinan Kasih Bersama Asnaf 2015 buat kali ketiga pada tahun ini dengan membawa wakil ejen kutipan LZS bagi berkongsi pengalaman agihan zakat di Selangor.
Mereka ini terdiri daripada para penolong amil IPT, ejen bank dan telco serta ejen korporat yang dilantik oleh LZS. Melalui program ini, para peserta diberi pendedahan aktiviti agihan zakat secara langsung, di samping mendapatkan respon daripada peserta terhadap keberkesanan agihan zakat yang dilaksanakan di Selangor.
Dalam program kali ini, para peserta berpeluang bersama-sama LZS selama dua hari bermula 27 Oktober sehingga 28 Oktober untuk mendekati asnaf zakat di daerah Kuala Selangor, selain dapat menyelami realiti kehidupan mereka.
Program bermula dengan kunjungan ke Pusat Jagaan Warga Emas Zakat Selangor (Bait Al Mawaddah) yang dibangunkan hasil daripada manfaat zakat. Di sini para peserta diberi taklimat ringkas berkenaan usaha LZS menyantuni warga emas dalam kalangan asnaf fakir dan miskin di Selangor.
Kemudian para peserta dibawa ke Kompleks Asrama Anak-Anak Asnaf dikenali sebagai Bait Al Hasanah yang terletak di Klang. Asrama ini dibina bagi menyediakan prasarana pendidikan kepada anak-anak asnaf dalam kondisi yang selesa, di samping mengelakkan mereka keciciran dalam pelajaran.
Perjalanan para peserta kemudiannya diteruskan ke Kuala Selangor bagi melihat aktiviti asnaf di daerah ini yang telah disantuni dengan bantuan zakat. Antara lokasi yang diziarahi termasuklah Pusat Dialisis, Kuala Selangor, lawatan ke projek ekonomi asnaf yang mengusahakan kebun limau dan juga kunjungan ke kedai cendol yang diusahakan oleh usahawan asnaf zakat, Muhammad Burhan Salikon yang kini telah bebas dari kategori asnaf.
Para peserta turut berkesempatan bersama dalam satu majlis penyerahan pelbagai bantuan zakat yang diadakan di Masjid Kg. Kuantan. Sejumlah RM413,715 telah disampaikan untuk menyantuni asnaf melibatkan bantuan pembinaan dan baik pulih rumah, bantuan baik pulih surau dan juga sumbangan karpet untuk surau sekolah rendah agama.
Destinasi terakhir program ini adalah di ibu pejabat LZS di mana mereka diberi taklimat berkenaan Kaunter Ekspres Agihan Zakat.