ZIKRA PULAU KETAM: KONGSI USAHA ZAKAT SELANGOR BERSAMA PENGELUAR ZAKAT

0
483

KLANG, 25 Mei 2016 – Meskipun komuniti Islam di Pulau Ketam kecil bilangannya, namun Lembaga Zakat Selangor (LZS) terus menyantuni dan mengambil berat terhadap pembangunan serta kebajikan mereka dengan menyalurkan pelbagai bantuan kepada golongan terbabit.

Ahli Jawatankuasa Operasi Agihan Zakat Selangor, Dato’ Ibrahim Md Yusof, berkata, antara bantuan yang disalurkan termasuklah bantuan baik pulih Balai Islam di Pulau Ketam bernilai RM42,745.

“Pada hari ini bersempena dengan ‘Program ZIKRA: Jelajah Kasih Bersama Asnaf’, turut bersama kita adalah beberapa syarikat korporat yang mengeluarkan zakat di Selangor.”

Tambahnya lagi, “Hari ini kita bawa mereka ke sini untuk melihat aktiviti Zakat Selangor bagi memberi pemahaman ke manakah wang zakat disalurkan. Semoga dengan bantuan yang disalurkan hari ini, dapat memberi keselesaan kepada komuniti Islam di sini beribadah.”

Antara syarikat korporat yang menyertai delegasi hari ini, adalah Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), Kumpulan Perubatan Johor (KPJ), Kumpulan Naza dan Bank Muamalat Berhad.

DSC_7594

Selain menyerahkan bantuan kepada Balai Islam Pulau Ketam, delegasi itu turut menyampaikan bantuan bulanan kepada asnaf, mengadakan pemeriksaan kesihatan di Klinik Pulau Ketam, melawat Balai Polis dan Sekolah Menengah Kebangsaan Pulau Ketam.

Pada majlis sama, upacara memeluk Islam dengan mengucap dua kalimah syahadah turut diadakan membabitkan dua penduduk orang asli di situ.

Komuniti Islam di Pulau Ketam dianggarkan kurang 20 berbanding jumlah keseluruhan penduduknya dianggarkan mencecah 2,000 orang.

DSC_7683

Program Zikra 2016 ini diakhiri dengan ziarah warga emas di Bait Al Mawaddah yang terletak di Jalan Kebun, Klang.  Peserta berpeluang melawat dan beramah mesra bersama warga emas fakir dan miskin yang menetap di sana.

Bait Al Mawaddah yang bermaksud Rumah Kasih Sayang, mula beroperasi pada bulan Ogos 2014 dan kini menempatkan lebih kurang 30 orang warga emas.

Salah seorang peserta yang ditemui, Alida berkata “Program CSR seperti ini sudah menjadi satu kewajipan kepada sesebuah syarikat dalam membantu orang-orang yang memerlukan.”

“Dalam masa yang sama, program seperti ini haruslah mencapai objektif bahawa memberi kembali apa yang kita perolehi akan mendatangkan manfaat kepada semua pihak. Malah kami sebagai pengeluar zakat juga dapat melihat manfaat yang disalurkan daripada bantuan zakat.”