ZIKRA: ZAKAT SELANGOR KUKUHKAN JALINAN BERSAMA PERKESO

0
518

RAWANG, 10 Oktober 2017 – Lembaga Zakat Selangor menganjurkan program Ziarah Korporat bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi berkongsi pengalaman agihan zakat di Selangor, selain menjejaki asnaf baru dalam kalangan penerima manfaat PERKESO baru-baru ini.

Program dimulai dengan taklimat ringkas, disusuli dengan lawatan ketiga buah rumah bagi menyampaikan sumbangan pampasan dari pihak PERKESO. Pada masa yang sama, Zakat Selangor turut menjalankan siasatan dan bancian kelayakan asnaf di rumah yang dikunjungi bagi melihat keperluan lain yang layak untuk dibantu.

Salah seorang anak asnaf yang ditemui, Syakir Zufair Bin Abdul Manat , 19 tahun yang menghidapi sakit saraf, Muscular dystrophy “Saya teringin untuk sambung belajar. Tetapi dalam keadaan saya yang merupakan orang kelainan upaya (OKU) dan tidak mampu menguruskan diri sendiri, menyebabkan hasrat tersebut terpaksa dipendam. Saya amat berharap ada individu atau pusat pengajian yang dapat membantu saya.”

Ibunya pula Norhayati  Binti Yaacob, 52 tahun  turut menyatakan hasrat yang sama melihat anak sulungnya dapat menyambung pelajaran ke peringkat diploma walaupun dalam keadaan yang kurang upaya. Untuk makluman, keluarga ini turut menerima bantuan zakat berupa bantuan Hari Raya, Kewangan bulanan dan makanan bulanan.

Manakala Pengarah Negeri Selangor PERKESO, Zainal Abu berkata, “Program sebegini merupakan titik permulaan yang baik antara pihak Zakat Selangor dan PERKESO bagi memberi gambaran jelas tentang fungsi dan tanggungjawab masing-masing. Diharap program ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang agar lebih ramai lagi orang dapat dibantu.”