70 KELUARGA MANGSA BANJIR KILAT TERIMA SUMBANGAN LZS

0
427

AMPANG, 25 November 2021 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini menyalurkan sumbangan bantuan berupa keperluan barangan asas kepada 70 keluarga mangsa banjir kilat di Bukit Belacan, Lembah Jaya Ampang.

Penyampaian bantuan ini disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M. Yusop dalam satu program turun padang di sini.

Menurut Saipolyazan, pada masa ini LZS sedang mengumpul data dan maklumat berkaitan dengan kerjasama pejabat daerah bagi menyelaraskan penyalurkan bantuan seterusnya untuk meringankan beban mangsa-mangsa terlibat, bergantung kepada syarat dan kelayakan.

“Bagi asnaf berdaftar dengan LZS yang terlibat dengan musibah banjir ini, boleh menyalurkan maklumat berkaitan kepada penolong amil kariah agar bantuan yang bersesuaian dapat disalurkan kepada mereka.”

Isnin lalu, beberapa kawasan di Ampang terutama Kampung Lembah Jaya Utara dan Kampung Lembah Jaya Selatan di sini, dilanda banjir kilat dan mengakibatkan beberapa buah rumah serta kenderaan mengalami kerosakan yang teruk.