Polisi dan Rangka Kerja Pendedahan Maklumat

Lembaga Zakat Selangor (MAIS) komited dalam memastikan warga kerja di setiap peringkat mengamalkan nilai integriti yang terbaik dalam melaksanakan mandat dan kuasa yang diberi bagi menguruskan kutipan dan agihan Zakat di negeri Selangor. Ini selaras dengan misi LZS iaitu “Memberi perkhidmatan kepada umat Islam dengan penuh integriti dan professionalisma dalam urusan kutipan dan agihan Zakat.”

Oleh itu, pihak Lembaga Zakat Selangor (MAIS) telah mewujudkan Polisi Pendedahan Maklumat ini, bertujuan menyediakan satu garis panduan atau tatacara kerja berkaitan pengurusan pendedahan maklumat berkenaan sebarang bentuk kelakuan tidak wajar yang dilakukan oleh warga kerja LZS atau pihak berkepentingan yang berurusan dengan LZS.

Polisi ini merangkumi tindakan sewajarnya yang perlu diambil bagi memastikan penerimaan laporan, kebertanggungjawaban, kerahsiaan, proses siasatan dan tindakan pembetulan yang bersesuaian dapat dilaksana dengan penuh akauntabiliti dan telus.

Dalam usaha meningkatkan tadbir urus korporat secara berterusan, LZS akan memastikan pelaksanaan polisi ini mampu mengesan dan mencegah sebarang bentuk kelakuan tidak wajar dengan lebih berkesan demi mencapai tahap ketelusan serta tanggungjawab sosial LZS yang terbaik dalam menjalankan amanah bagi menguruskan kutipan dan agihan Zakat di negeri Selangor.

Pelaksanaan dan penguatkuasaan polisi ini adalah tanggungjawab Unit Integriti yang diletak di bawah Jabatan Pengurusan Risiko, Integriti dan Keselamatan Siber. Pelaksanaan Polisi ini oleh Unit Integriti akan dipantau oleh Lembaga Pemegang Amanah melalui Jawatankuasa Lembaga Risiko Integriti dan Kepatuhan. Manakala Jawatankuasa Integriti Pengurusan yang dipengerusikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif LZS akan membantu memastikan seluruh warga kerja mengamalkan nilai-nilai integriti yang terbaik.

Klik capaian dibawah untuk bacaan penuh polisi.

Kelakuan Tidak Wajar

Sebarang tindakan atau kelakuan yang boleh menyebabkan kemudaratan. Ia termasuklah, tetapi tidak terhad kepada kesalahan melanggar undang-undang seperti penipuan dan rasuah, melanggar kod etika atau polisi LZS, kecuaian, buli, gangguan, diskriminasi, menyalahguna dana dan sumber, salahguna kuasa, konflik kepentingan, membazir atau kesalahan pengurusan (mismanagement). Ia juga merangkumi sebarang tindakan, yang mana jika terbukti, merupakan satu kesalahan tatatertib atau kesalahan jenayah di bawah peraturan dan garis panduan yang digunapakai di LZS atau mana-mana undang-undang berkaitan yang berkuatkuasa.

Kesalahan Tatatertib

Sebarang tindakan yang dilakukan oleh mana-mana warga kerja LZS yang menjadi suatu pelanggaran tatatertib di LZS sebagaimana yang diperuntukkan oleh undang-undang atau dalam suatu tatakelakuan, kod etika, peraturan, pekeliling atau suatu kontrak kerja, mengikut mana-mana yang berkenaan.

Perkara Yang Perlu Dilaporkan

Pemberi Maklumat hendaklah mengemukakan maklumat serta bukti selengkap mungkin untuk memastikan siasatan dapat dilaksana dengan sempurna dan adil. Maklumat-maklumat yang perlu disertakan ketika aduan dibuat adalah seperti berikut:

Butiran setiap OYD (Nama, jawatan dan pusat tanggungjawab) yang disyaki terlibat dengan kelakuan tidak wajar;
Jenis kelakuan tidak wajar yang disyaki telah, sedang dan/atau akan dilakukan;
Tarikh dan masa kelakuan tidak wajar telah, sedang atau akan berlaku;
Tempat di mana kelakuan tidak wajar itu telah, sedang atau akan berlaku;
Nama-nama mereka yang boleh menjadi saksi dan kaedah bagi LZS menghubungi mereka;
Dokumen, gambar, video, audio atau lain-lain bukti sokongan yang dapat membantu siasatan; dan
Lain-lain maklumat yang diketahui atau dipercayai telah, sedang atau akan berlaku yang dapat membantu siasatan.

NOTA: Aduan atau laporan yang diterima tanpa disertakan maklumat peribadi Pemberi Maklumat hanya akan dinilai dan diambil tindakan sekiranya butiran di dalam aduan dapat mengesahkan wujudnya elemen kelakuan tidak wajar. Maklumat aduan dan maklumat peribadi Pemberi Maklumat adalah diklasifikasikan sebagai maklumat sulit.

Perlindungan

Identiti Pemberi Maklumat termasuk jawatan, alamat tempat kerja, alamat kediaman dan lain-lain yang berkaitan akan dirahsiakan dan dilindungi di bawah Polisi ini.
Semua aduan kelakuan tidak wajar adalah diklasifikasikan sebagai SULIT. Kandungan laporan kelakuan tidak wajar tidak boleh didedahkan kepada mana-mana pihak kecuali kepada pihak yang berhak untuk mengetahuinya seperti agensi penguatkuasa undang-undang, pasukan penyiasat, Jawatankuasa Pemantau yang berkenaan untuk tujuan siasatan, penilaian dan membuat keputusan. Identiti Pemberi Maklumat akan tetap dirahsiakan dan dilindungi serta tidak boleh didedahkan dalam apa-apa dokumen atau pernyataan.
Pemberi Maklumat adalah dilarang untuk mendedahkan apa-apa butiran laporan kelakuan tidak wajar yang dibuat olehnya kepada mana-mana pihak lain kecuali kepada agensi penguatkuasa undang-undang. Kegagalan Pemberi Maklumat mematuhi larangan ini boleh menyebabkan kerahsiaan dan perlindungan kepada Pemberi Maklumat di bawah Polisi ini terbatal.
Pemberi Maklumat yang membuat laporan dengan niat suci hati akan dilindungi daripada apa-apa tindakan penganiayaan.
LZS memandang serius tentang tindakan yang boleh memudaratkan Pemberi Maklumat. LZS memberi jaminan perlindungan kepada Pemberi Maklumat terhadap tindakan yang mungkin dikenakan.
Sesiapa yang melakukan tindakan penganiayaan terhadap Pemberi Maklumat boleh dikenakan tindakan tatatertib sehingga ke tahap penamatan pekerjaan atau pemecatan atau dilaporkan kepada agensi penguatkuasa undang-undang.

Klik capaian dibawah untuk bacaan penuh akta.

Pemakaian Polisi

Polisi ini tergunapakai kepada ahli-ahli Lembaga Pemegang Amanah, ahli-ahli Jawatankuasa Lembaga, ahli-ahli Pengurusan Tertinggi, warga kerja, pihak berkepentingan serta orang awam.

Pemberi Maklumat boleh membuat aduan mengenai sebarang bentuk kelakuan tidak wajar yang melibatkan mana-mana ahli Lembaga Pemegang Amanah, Pengurusan Tertinggi, warga kerja serta pihak berkepentingan. Sebarang siasatan hendaklah dilaksanakan tanpa ada sebarang kebimbangan atau pilih kasih terhadap OYD tanpa mengira tempoh perkhidmatan, kedudukan jawatan atau taraf hubungan dengan LZS.